KAMPUNG TALANG
Kampung Talang terletak di Tanjung Ipoh, Kuala Pilah. Seperti kampung-kampung yang lain Kampung Talang mempunyai sejarah dan asal usul yang tersendiri. Ada versi yang mengatakan kampung ini mendapat nama daripada buluh yang bernama talang.
Suasana persekitaran di kampung ini dikelilingi dengan bukit-bukau dan sawah padi yang menguning dan menghijau bagaikan hamparan permaidani yang terbentang luas. Ini menjadi Kampung Talang diwarnai dengan suasana yang penuh kedamaian dan ketenangan.
Kampung Talang sering dikaitkan dengan nama tokoh yang terkenal dan meniti di bibir masyarakat sehingga ke hari ini. Mereka ialah Allahyarham Tuan Tulis Ismail bin Jaman tokoh agama yang masyhur dan Allahyarham Kamaruzzaman bin Abdul Kadir atau Dharmawijaya tokoh penyair tersohor tanah air.
Tuan Tulis Ismail bin Jaman lahir sekitar tahun 1860-an dan mendapat gelaran “Tuan Tulis” daripada gurunya semasa belajar di Kampung Ulu Semantan, Raub, Pahang kerana beliau merupakan jurutulis kepada gurunya ketika belajar. Beliau hidup dalam keadaan zuhud, jujur, ikhlas dan sangat kuat beribadat.
Beliau telah membina sebuah masjid di Kampung Kuala Talang pada tahun 1920-an yang masih lagi digunakan sehingga ke hari ini oleh penduduk setempat untuk menjalankan aktiviti keagamaan. Beliau juga telah menulis sebuah kitab Al-Quran dengan menggunakan tulisan tangan.
Makam Tuan Tulis dan masjid yang dibina oleh tokoh agama ini menjadi peninggalan sejarah dan tempat yang menarik untuk dilawati di Kampung Talang oleh mereka yang datang daripada luar Negeri Sembilan. Bagi mereka yang menjadi penggemar dan pencinta kesusasteraan sajak yang bertajuk “Kampung Talang” karya Dharmawijaya menjadi ikon utama kampung ini.
Dharmawijaya anak jati kelahiran kampung ini membesar dalam suasana kampung yang pada ketika zaman masih belum merdeka lagi dengan kekurangan serba serbi dari segi pembangunan. Beliau membawa telur itik sebagai belanja sekolah pada waktu itu.
Jalan yang bertanah merah, sumber air yang menggunakan perigi, dapur kayu yang digunakan untuk memasak dan pelita untuk menerangi rumah apabila malam menjelma. Kesusahan hidup yang dialami oleh Dharmawijaya telah mencetuskan beliau untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menempatkan diri sebaris dengan tokoh-tokoh ternama yang lain.
Penduduk Kampung Talang pada ketika itu bergantung hidup hanya dengan menjadi petani. Sesungguhnya Dharmawijaya berjaya mengajak dan membuka minda para pembaca tentang sebuah kampung tradisi yang mempunyai penduduk yang bersemangat jati dan berjiwa luhur dalam mengharungi kehidupan pada ketika itu.
Pernah satu ketika Kampung Talang dilanda banjir besar sehingga jambatan kayu yang menjadi menghubung kampung ini dengan Pekan Tanjung Ipoh hanyut dibawa air deras sehingga penduduk terputus hubungan dan terus dihimpit dengan kesusahan.
Tidak kurang juga orang-orang kampung yang terpaksa berjalan kaki berbatu-batu jauhnya untuk ke Pekan Tanjung Ipoh. Begitu juga baju anak-anak yang kotor dengan lumpur tanah berwarna merah termasuk ke sekolah apabila ditimpa hujan lebat.
Semua inilah yang menggambarkan suasana kehidupan mereka yang tinggal di Kampung Talang pada satu ketika dahulu. Namun dalam kehidupan yang kita tidak lalui semestinya berterusan dengan kedukaan mahupun keperitan. Kemeriahan dapat dirasakan setiap kali tibanya musim turun ke sawah dan menuai padi.
Semangat bergotong-royong dan bermuafakat jelas kelihatan di kalangan penduduk Kampung Talang. Seperti yang disebut dalam perbilangan adat, “duduk seorang sempit, duduk ramai lapang”. Penduduk melakukan pekerjaan dengan bantu-membantu dan saling bekerjasama antara satu sama lain.
Masakan yang terkenal pada musim menunai ialah belalang. Selain daripada itu, penduduk kampung juga menjalankan aktiviti memungut telur itik pada waktu pagi selepas musim menuai. Pada waktu itu jambatan adalah daripada batang kelapa. Manakala pada waktu malam meriah dengan lesung mengemping selepas musim menuai. Sarang burung tempua mulai banyak apabila menjelang padi berisi. Begitulah meriah dan indahnya apabila tiba musim menuai di Kampung Talang pada waktu itu.
Bagi mengimbau keindahan nostalgia zaman silam ini maka Luak Ulu Muar dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan telah mengadakan Olek Sawah pada setiap 2 tahun sekali di Kampung Talang. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada generasi Y dan orang ramai menyertai, menjiwai serta mengalami aktiviti bersawah sebagaimana suatu ketika dahulu, memelihara acara tardisi dengan mengadakan semula aktiviti-aktiviti ini supaya tidak dilupakan dan memberi kesempatan kepada masyarakat untuk bersama-sama dengan pemimpin semasa hari ini.
Antara pengisian yang diketengahkan dalam Olek Sawah pada ketika itu ialah mengemping padi, mengacau penganan, bacaan terombo, pengkisahan adat perpatih, makanan tradisional, permainan tradisional, perarakan panta berhias, sukaneka, pertandingan bola sepak dalam sawah, mengoca, menuai, membanting, mengangin padi, mengirek, menjemur padi dan permainan layang-layang.
Kampung Talang yang di dalam jajaran Luak Ulu Muar sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dan falsafah sepertimana yang terkandung dalam Adat Perpatih. Pengamalan Adat Perpatih di Kampung Talang jelas kelihatan pada makanan, senibina, adat istiadat, kesenian dan lain-lain lagi sepertimana yang terdapat dalam teras Adat Perpatih.
Kini Kampung Talang telah menikmati pembangunan sama seperti kampung-kampung lain dengan kemudahan bekalan elektrik, air, telekomunikasi, jalan bertar dan sebagainya. Keunikan kehidupan penduduk di kampung tradisi ini telah dijadikan sebagai kisah novel dan cerpen oleh Azaika SR seorang penulis yang keluarga ayahnya berasal dari Kampung Talang.
Novel yang bertajuk Hero Kampung Talang dan cerpen yang bertajuk Kampung Talang menjadi pelengkap dan menceritakan segala-galanya mengenai pengamalan Adat Perpatih serta gaya kehidupan tradisi yang diamalkan oleh penduduk kampung yang masih lagi kekal dan bertahan sehingga ke hari ini.
Demikianlah secebis perkongsian mengenai sebuah kampung tradisi yang bernama Kampung Talang. Pihak SK Talang amat mengalu-alukan para pembaca terutamanya anak kelahiran Kampung Talang sekiranya ada maklumat menarik dan sejarah mengenai Kampung Talang yang tidak pernah diketahui selama ini untuk bersama-sama dijadikan sebagai perkongsian ilmu pengetahuan.
Sememangnya pihak SK Talang ingin mencungkil dan mengetengahkan sejarah kampung tradisi yang terdapat di negeri ini sebagai tatapan masyarakat terutamanya generasi muda di samping warisan yang tinggi nilai dan tiada tolok bandingnya.
Ini kerana apabila sesuatu yang amat berharga seperti kewujudan sesebuah kampung tradisi itu hilang maka sukar untuk dicari ganti dan apabila tercicir maka amat payah untuk dipungut kembali. Biarlah zaman meniti dengan arus pembangunan yang pesat namun kampung tradisi seperti Kampung Talang dan kampung-kampung yang lain perlu dipelihara.